Archive | Uncategorized RSS feed for this section

Sakit tapak kaki dan tumit : Bagaimana mencegahnya ?

3 May

by Klinik An-Nisa’ (Saujana Impian) [Belakang TESCO Kajang] on Monday, 30 April 2012 at 15:00 ·

Sakit di bahagian tumit atau tapak kaki sering berlaku.

Antara punca sakit tapak kaki adalah :
1. Radang pada tisu di bahagian tumit dan tapak kaki
2. Tekanan pada saraf di bahagian tapak kaki
3. Proses penuaan menyebabkan lapisan lemak dan tisu mula mengecut
4. Kecederaan tulang seperti retak

Antara keadaan yang sering berlaku adalah keadaan di panggil ‘Plantar fasciitis‘ iaitu plantar = tapak kaki; fasciitis = radang pada fascia ( tisu) di bahagian tapak kaki.

Plantar fasciitis : Kenapa sakit tapak kaki/tumit lebih teruk di waktu pagi ?

Semasa tidur tisu dan otot di bahagian tapak kaki berada dlm posisi ‘rehat’ , otot betis dan fascia di tapak kaki akan memendek dan kekal dalam posisi tersebut selama beberapa jam. Apabila bangun pagi dan meletak tapak ke lantai serta mula memijak, tekanan daripada berat badan akan menyebabkan regangan pada tisu fascia secara tiba-tiba. Ini boleh menyebabkan kecederaan dan mungkin luka pada tisu tersebut. Bagaimanapun tisu tersebut akan mula meregang sedikit demi sedikit apabila kita terus menapak menjadikannya kurang tegang dan sakit juga akan semakin berkurangan.

Bagaimana mencegahnya ?
Sebaik bangun tidur lakukan regangan kaki dan tapak kaki terlebih dahulu sebelum mula memijak lantai
Gunakan alat sokongan tapak kaki atau ‘night splint’ untuk menetapkan posisi tapak kaki semasa tidur

Benarkah faktor kegemukan/ berat badan berkait dgn sakit tumit ?

Ya. Apabila berdiri dan berjalan berat akan diedarkan sama rata di bahagian kaki (tulang dan tisu).Dan bahagian kaki dapat menampung berat tertentu sahaja. Berat berlebihan akan memberikan tekanan berlebihan lalu menyebabkan regangan berlebihan di bahagian kaki. Akibatnya risiko kecederaan adalah lebih tinggi. Dan tekanan berulangan tersebut akhirnya menyebabkan rasa sakit pada tumit dan tapak kaki.

Bagaimana merawat dan mencegahnya ?

  • Rehatkan kaki jika sakit. Misalnya, kurangkan aktiviti seperti berjalan jauh atau lama, mendaki dan berlari. Elakkan mengangkat beban yang berat.
  • Lakukan tuam ais di bahagian tapak kaki 2-3 kali sehari atau lebih kerap jika sakit baru bermula untuk mengurangkan radang dan ketegangan fascia’. Ia juga boleh dilakukan selepas bersenam atau berjalan jauh kerana aktivi fizikal seumpamanya boleh juga mendatangkan kecederaan pada tisu tanpa kita sedari.
  • Lakukan regangan kaki atau tapak kaki sekurangnya 3 kali sehari ; terutama sblm mula memijak pada waktu pagi
  • Pakai gel atau ‘heel lifts/support’ untuk mengurangkan tekakanan/stress pd bahagian tumit dan tapak kaki.
  • Pilih kasut yang sesuai untuk pamakaian harian atau bersenam. Kasut yang terlalu nipis dan lembut akan menyebabkan tekanan pada tumit dan tapak kaki berubah-ubah dan menjadi berlebihan terutama jika berjalan di permukaan tidak rata.
  • Menurunkan berat badan adalah langkah yang baik. Selain mengurangkan tekanan di bahagian tapak kaki, tekanan pada sendi lutut, pinggul juga dapat dikurangkan. Penyakit lain berkaitan dengan obesiti juga dapat dielakkan.
  • Lain-lain : pemakaian ‘night splints’ atau orthotics

Apakah fungsi tuam ais atau sejuk ?

Ia dapat mengurangkan radang dan mengurangkan rasa sakit.

Bagaimana melakukannya ?
- balutkan ais dengan kain dan letak di bahagian tapak kaki atau
- bekukan air dalam botol air mineral dan untuk menuam letakkan di lantai. Letakkan tapak kaki di atas botol ( pijak botol) dan gerakkan kaki ke depan dan belakang (‘roll the bottle’) sambil menonton TV atau membaca . Mudahkan ?

* nota ini sebagai panduan sahaja. Jika anda mengalami masalah tersebut – rujuklah doktor anda untuk pemeriksaan dan rawatan sebenar

Kenali tubuh anda (2) : PETI SUARA (larynx) …di mana ?

7 Mar


Apa itu peti suara ? Di mana kedudukan peti suara ?

Peti suara atau laring (“larynx”) adalah salah satu daripada struktur penting di bahagian dalam leher.  Ia bersambung dengan  mulut dan tekak ( pharynx) di bahagian atas dan saluran nafas (trakea) di bawah.  Peti suara  berfungsi dalam menghasilkan suara dan juga bertindak sebagai laluan udara pernafasan ke paru-paru.

Tahukah anda ?

  • Bahagian peti suara dan saluran nafas akan ditutup oleh struktur ynag dipanggil ‘epiglotis’ semasa kita makan atau minum untuk mengelakkan daripada makanan masuk ke dalam bahagian tersebut lalu menyebabkan tercekik.

  • Semasa menarik nafas epiglotis akan terangkat, tisu di bahagian peti suara ( vocal cord) membuka dan udara akan masuk ke saluran pernafasan (trakea) lalu ke paru-paru.

  • Apabila bercakap, menjerit atau menangis epiglotis terangkat dan udara daripada paru-paru lepas keluar melalui saluran pernafasan (trakea) dan melalui struktur di panggil korda suara (vocal cord). Tekanan udara yang melaluinya akan memaksa tisu sekitar bahagian tersebut bergetar dan membuka laluan untuk udara keluar dan menghasilkan suara.
Oleh itu elakkan bercakap semasa makan atau memaksa anak-anak makan dan minum susu semasa menangis untuk mengelakkan tersedak dan tercekik makanan.

Kenapa suara menjadi serak ?

Antara punca utama suara serak adalah jangkitan pada bahagian peti suara yang boleh berpunca daripada jangkitan sama ada kuman virus atau bakteria. Gejala ini sering dialami semasa demam selsema, sakit tekak atau batuk. Tisu-tisu di bahagian tekak, peti suara dan saluran pernafasan atas mengalami radang dan membengkak  menyebabkan laluan udara menjadi sempit dan gerakan struktur peti suara (vocal cord) berkurangan. Akibatnya suara berubah menjadi serak atau garau. Keadaan seumpama ini adakalanya mengambil masa sehingga dua atau tiga minggu untuk pulih sepenuhnya.

Suara juga boleh menjadi serak disebabkan oleh :

  • menangis, menjerit dan bercakap lama atau kuat ( voice abuse)
  • kecederaan di bahagian leher
  • ketumbuhan pada peti suara seperti polip, nodul  (bukan kanser) atau kanser
  • masalah saraf yang mengawal peti suara yang boleh menyebabkan  ‘kelumpuhan’ korda suara
  •  tekanan oleh bengkakan pada bahagian leher seperti tiroid dan kelenjar limfa atau di dalam rongga dada atau paru-paru
  • Lain-lain : alahan, pembedahan atau prosedur perubatan yang melibatkan tekak
Asid Refluk : kenapa suara menjadi serak ?

NOTE : sebagai panduan sahaja. Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan dan pengesahan.

Kenali tubuh anda (1) : Cuping telinga

6 Feb
by Klinik An-Nisa’ (Saujana Impian) [Belakang TESCO Kajang] on Friday, 3 February 2012 at 13:24

Telinga untuk mendengar. Cuping telinga akan menangkap gelombang bunyi dan disalurkan ke dalam telinga untuk proses selanjutnya bagi membolehkan kita mendengar.

Kebanyakan kita biasa mendengar masalah telinga bernanah, berdarah, masalah gegendang dan sebagainya. Sebenarnya cuping telinga juga perlu penjagaan. Terdapat beberapa masalah berkaitan cuping telinga yang perlu dirawat awal agar tidak menimbulkan kesan tidak diingini. Antaranya :

LUKA : penjagaan rapi adalah perlu.

31 Jan
by Klinik An-Nisa’ (Saujana Impian) [Belakang TESCO Kajang] on Tuesday, 31 January 2012 at 17:58

Luka adalah cedera pada kulit sama ada melecet, terkoyak, terpotong atau ulser…

Walaupun berbeza keadaan atau penyebabnya ; penjagaan luka adalah untuk tujuan yang sama iaitu

  • Supaya cepat sembuh
  • Untuk mengelakkan jangkitan lebih teruk
  • Supaya tidak meninggalkan parut atau tidak menyebabkan parut hodoh

Bagaimana menjaga luka ?

Bergantung kepada :

  • saiz luka

- luka kecil dan bersih cepat sembuh berbanding luka besar

  • penyebab luka

- luka bedah biasanya bersih dan lebih mudah dijaga.

- luka yang kotor misalnya akibat kemalangan perlu dibersihkan sebaiknya mengelakkan jangkitan

- luka jangkitan seperti bisul, nanah perlukan penjagaan rapi bagi mengelakkan ia merebak

  • kedudukan luka

- luka di bahagian yang sukar dilihat atau dicapai memerlukan orang lain membantu dalam penjagaan luka

- luka di tapak kaki atau belakang badan seperti ulser perlu dijaga rapi kerana tekanan berpanjangan pada bahagian tersebut boleh menyebabkan luka lambat sembuh dan berulang-ulang

  • keadaan fizikal individu yang mengalami luka

- obesiti, kencing manis dan penyakit daya ketahanan rendah boleh melambatkan penyembuhan luka

Komplikasi luka :

  • lambat sembuh
  • jangkitan pada luka
  • sepsis ( jangkitan merebak)
  • parut

Apa perlu dilakukan ?

Secara umum :

  • Menjaga kebersihan diri dan sekitaran
  • Pemakanan yang sihat
  • Pengawalan berat badan
  • Memastikan tubuh berada pada tahap kesihatan optimum
  • Kawal paras gula bagi pesakit kencing manis

Secara khusus :

  • Memastikan bahagian luka sentiasa bersih dan dirawat dengan betul ( lakukan ‘dressing’ atau rawatan cuci luka)
  • pastikan bahagian luka cedera atau jahit sentiasa kering terutama 24 jam pertama
  • jika diberikan ubat sapuan ( krim) : cuci luka terlebih dahulu dengan air bersih atau saline, kemudian sapukan ubat (krim) antiseptik atau antibakteria dengan nipis ( bagi membolehkan pengudaraan di bahagian luka dan membantu luka kering)
  • jangan usik bahagian luka yang mula mengering; misalnya cuba untuk mencungkil parut kering atas luka (‘scab’) kerana ini mungkin boleh menyebabkan luka atau jangkitan semula dan luka akan lambat sembuh
  • luka jahit dan luka bedah perlu sentiasa diperiksa untuk memastikan tidak ada jangkitan atau jahitan yang terbuka. Antara tanda-tanda jangkitan kuman adalah : terdapat lelehan cecair atau nanah daripada bahagia luka, kulit sekitar bahagian tersebut merah dan bengkak, luka seperti terbuka, bertambah sakit dan kemungkinan demam
  • jika luka dibalut : tukar balutan setiap hari atau apabila menjadi basah/kotor
  • habiskan antibiotik jika diberi oleh doktor

Apa itu parut ?

Adalah kesan yang dilihat apabila luka telah sembuh. Ia terhasil apabila tisu baru timbul menggantikan tisu tercedera atau hilang akibat luka. Terdapat jenis-jenis parut yang perlu diberikan perhatian; antaranya

  • keloid (perut yang terus membesar atau timbul melebihi kesan luka)
  • hypertrophic scar ( parut timbul pada bahagian luka yang sembuh)

Mengelakkan mendapat parut :

  • rawat luka sebaiknya
  • jangan garu bahagian parut

Nota : Panduan ini adalah secara umum sahaja. Rujuklah doktor anda untuk rawatan yang betul.

Mabuk perjalanan : Bagaimana mengelaknya ?

25 Jan

by Klinik An-Nisa’ (Saujana Impian) [Belakang TESCO Kajang] on Wednesday, 25 January 2012 at 19:19

Ada antara kita yang mudah merasa pening atau loya dan juga muntah ketika berada dalam perjalanan. Keadaan ini dipanggil mabuk perjalanan.

 

  • Apa itu mabuk perjalanan ?

Rasa loya dan muntah ketika dalam perjalanan sama ada di darat (kereta), udara (kapal terbang) atau laut (bot). Biasanya ia dicetuskan oleh pergerakan kenderaan yang dinaiki. Faktor lain adalah bau-bauan, keadaan sekitaran dan juga emosi ( kebimbangan dan sebagainya).

  • Kenapa berlaku mabuk perjalanan ?

Mabuk perjalanan disebabkan oleh gangguan keseimbangan akibat daripada pergerakan yang berterusan atau perubahan kedudukan berulang-ulang. Keseimbangan dapat dicapai apabila mata dapat menganggar kedudukan jarak dan bahagian dalam telinga (sistem vestibular) dapat mengesan posisi atau kedudukan tubuh. Perjalanan di dalam kereta misalnya menyebabkan jarak penglihatan terhadap objek luar berubah-ubah dan maklumat yang berubah-ubah juga akan dihantar ke otak untuk ditafsirkan. Hasilnya berlaku ‘kecelaruan’ maklumat dan menyebabkan pening atau mabuk. Keadaan yang sama juga berlaku apabila berada di dalam bot (laut); pergerakan bot di atas air yang bergoyang-goyang menyebabkan sistem keseimbangan tubuh terganggu lalu menyebabkan mabuk laut.

 

  • Bagaimana mengelak atau mengurangkan mabuk perjalanan ?

Kebanyakan akan mengambil ubat tahan muntah  sebelum memulakan perjalanan sebagai langkah berjaga-jaga. Walaubagaimanapun terdapat beberapa tips untuk mengelak dan mengurangkan mabuk perjalanan tersebut. Antaranya

  • sentiasa pandang jauh ke hadapan semasa berada dalam kenderaan yang bergerak
  • elakkan bau-bauan yang kuat ( minyak kereta, makanan atau wangian boleh mendatangkan rasa pening)
  • elakkan menunduk atau membaca dalam  kenderaan yang bergerak
  • elakkan mengambil makanan pedas, berminyak atau berlemak sebelum memulakan perjalanan. Jangan makan dan minum terlalu banyak sebelum perjalanan.
  • dapatkan rehat yang secukupnya sebelum perjalanan.
  • sebaiknya mulakan perjalanan di waktu siang atau terang.
  • jika mudah merasa pening duduklah di kerusi hadapan penumpang (kereta) atau di bahagian tengah kapal terbang (lebih stabil)
  • menutup mata atau cuba untuk tidur juga dapat mengurangkan mabuk perjalanan
  • bagi pemandu – elakkan menekan brek berulang-ulang; kekalkan kelajuan agar terasa lebih stabil

 

NOTA : maklumat yang disampaikan adalah terhad  dan sebagai panduan sahaja

Pedih ulu hati : bagaimana mengawal dan mencegahnya ?

24 Jan
by Klinik An-Nisa’ (Saujana Impian) [Belakang TESCO Kajang] on Friday, 20 January 2012 at 12:04

Gejala pedih ulu hati atau pedih perut sering dialami terutama apabila perut kosong. Apa yang berbeza adalah tahap keterukkannya sama ada ringan atau sangat teruk. Ia juga bergantung kepada bagaimana anda menjelaskan maksud pedih ulu hati : adakah terasa seperti dicucuk-cucuk, pedih luka, sebu, panas, angin, loya, muntah dan sebagainya…. ( setiap orang menjelaskan dengan cara tersendiri ) . Kebanyakan menggambarkan pedih ulu hati sebagai ‘refluks’.

Apakah yang dikatakan ulu hati ?

Penggunaan istilah tersebut sebenarnya tidak merujuk kepada masalah hati tetapi masalah berkaitan perut atau gastrik. Apabila ditanyakan di manakah bahagian yang sakit kebanyakan akan menunjukkan bahagian tengah, di bawah tulang dada… iaitu kedudukan di mana (secara anggaran) saluran esofagus bersambung dengan perut. Kedudukan tersebut juga terletaknya sebahagian daripada hati. Jadi istilah ‘ulu hati’ mungkin ada benarnya…( merujuk kedudukan anatomi )

Kenapa berlaku pedih ulu hati ?

Ia berlaku akibat daripada masalah penghadaman (dyspepsia atau angin), pengumpulan asid (ulser, gastrik) atau aliran balik asid daripada perut ke dalam esophagus (refluks) lalu menyebabkan radang pada permukaan esofagus.

*Esofagus : salur pemakanan yang menghubungkan antara tekak dengan perut

Bagaimana mencegahnya ?

  • Makan dengan teratur dalam kuantiti yang betul. (kuantiti sedikit dan kerap lebih baik)
  • Pemilihan makanan yang betul – elakkan makanan pedas, terlalu berempah, peppermint, berminyak dan sebagainya. (elakkan jika bahan makanan tersebut menerukkan gejala)
  • Elakkan minuman beralkohol dan kafein (kopi)
  • Elakkan makan dan minum sekurang-kurangnya 2 jam sebelum tidur (membolehkan perut dalam keadaan ‘rehat’ semasa tidur dan kurang risiko refluks)
  • Pastikan mengambil sarapan pagi (perut telah menjadi kosong semasa tidur sepanjang malam)
  • Hentikan tabiat merokok (bahan kimia dalam rokok boleh meningkatkan risiko refluks)
  • Tidur atau baring dengan kedudukan bahagian atas badan lebih tinggi daripada perut untuk mengurangkan risiko aliran balik asid  ke esofagus ( cara : tinggikan bahagian kepala katil)
  • Elakkan terlalu banyak berbaring atau membongkok ke hadapan terutama siang hari
  • Bersenam untuk kawal berat badan dan mengelakkan obesiti (kegemukan terutama di bahagian perut akan memberikan tekanan kepada perut menyebabkan refluks boleh berlaku)
  • Berjumpa doktor jika gejala yang dialami berpanjangan dan ambil ubat seperti yang disarankan (gejala yang sama tidak semestinya merujuk kepada penyakit yang sama)

NOTE : maklumat adalah terhad. Rujuklah doktor anda untuk pemeriksaan dan maklumat lanjut.

2012 : Apakah nombor anda ?

20 Jan

Masa berlalu dengan pantas….usia semakin meningkat dan bermacam masalah kesihatan mulai timbul. Sudahkah anda mengenalpasti kedudukan anda ? Apakah nombor anda?

  1. Timbang berat, ukur tinggi dan dapatkan BMI 
  2. Ukur lilit pinggang 
  3. Periksa tekanan darah
  4. Periksa paras gula
  5. Periksa paras kolesterol

Rekodkan setiap angka hasil daripada pemeriksaan di atas. Di mana anda ?

Adakah berat badan ideal ?

  • BMI 18.5-24.5

Adakah ukur lilit pinggang ideal ?

  • Wanita < 32 inci (80cm)
  • Lelaki < 37 inci (94cm)

Adakah tekanan darah normal ?

  • 120/80 mmHg

Adakah paras gula normal ?

  • Paras gula puasa : 3.9 – 5.5 mmol/L

Adakah tahap kolesterol terkawal ?

  • Total Kolesterol < 200
  • HDL , LDL dan trigliseride berada pada tahap optimum

Kenapa perlu ambil tahu ?

Peningkatan berat badan (obesiti) dan ukur lilit pinggang ( menunjukkan peningkatan pengumpulan lemak di bahagian perut) akan meningkatkan risiko mendapat penyakit seperti diabetes, darah tinggi , penyakit kardiovaskular, kanser dan sebagainya. Peningkatan tekanan darah, paras gula serta kolesterol juga meningkatkan kecenderungan mendapat penyakit kardioaskular, stroke dan sebagainya.

Lima perkara yang dinyatakan di atas adalah faktor-faktor yang boleh diubah melalui amalan gaya hidup sihat :

  • Pemakanan seimbang
  • Senaman teratur
  • Kawal tahap stress
  • Rehat yang mencukupi
  • Hentikan tabiat merokok serta amalan gaya hidup tidak sihat

Jadi, jangan salahkan faktor genetik atau keturunan serta peningkatan usia jika anda disahkan menghidap penyakit tertentu… WHY SUFFER WHEN YOU CAN PREVENT ?

MESEJ : Panduan ringkas sahaja. Rujuklah doktor anda untuk maklumat lanjut 

 

PENING : Adakah ianya VERTIGO ?

15 Jan
by Klinik An-Nisa’ (Saujana Impian) [Belakang TESCO Kajang] on Friday, 21 October 2011 at 16:12

Pernahkah anda bangun dan tiba-tiba merasakah seolah-olah bilik anda atau semua di sekeliling anda berputar laju ?

Atau, anda merasa gelap mata seakan hendak akan pitam ? Adakah ini VERTIGO ? Atau, hanya pening biasa ? Adakah pening dan vertigo sama ?

Apa itu PENING ?

PENING mempunyai tafsiran yang sangat luas. Ia bergantung kepada bagaimana  seseorang itu menjelaskan apakah yang sebenarnya dimaksudkan oleh mereka sebagai pening. Antaranya :

Merasa seperti  hendak pitam

Merasa seperti hilang keseimbangan

Merasa ‘ringan’ kepala

Merasa loya dan muntah

Merasa seolah-olah sekitaran berputar laju

Merasa diri berpusing laju

* Secara amnya, PENING adalah gangguan keseimbangan tubuh. Ia boleh berlaku tiba-tiba, sekejap, berpanjangan atau berulang-ulang.

Kenapa pening berlaku ?

Keseimbangan tubuh kita bergantung kepada sistem keseimbangan telinga, deria penglihatan dan sistem saraf sensori

( deria rasa pada kulit serta koordinasi otot-otot dan anggota). Apabila hilang keseimbangan atau fungsi satu daripadanya PENING akan berlaku. Ia juga berlaku apabila otak gagal mentafsir rangsangan daripada sistem yang disebutkan tadi.

Antara puncanya :

Tekanan darah rendah atau tinggi

Gangguan penglihatan

Masalah telinga dalam

Gangguan sistem saraf

Masalah kesihatan lain : kencing manis, strok, jantung, kolesterol, anemia dan migraine

Perubahan hormon : mengandung, menopaus, haid

Kecederaan otak, dehidrasi (kekurangan air) dan lain-lain….

Adakah PENING dan VERTIGO sama ?

Secara umumnya pening bolehlah dibahagikan kepada VERTIGO dan ‘ringan’ kepala atau tidak stabil (rasa hendak pitam).

* Penyebabnya adalah seperti yang dijelaskan di atas tetapi penyebab vertigo biasanya adalah lebih spesifik

Apa itu VERTIGO ?

Vertigo adalah keadaan di mana seseorang merasa seolah-olah dirinya berputar laju atau keadaan sekitarnya berputar laju. Biasanya ia berlaku kerana gangguan pada sistem kawalan keseimbangan bahagian telinga dalam.

Sistem vestibular di bahagian telinga dalam mengesan perubahan posisi kepala dan menghantarkan maklumat tersebut ke otak (serebelum). Bahagian ini turut menerima maklumat daripada sistem penglihatan dan rangsangan sensori kulit/ anggota. Seterusnya ‘gabungan’  maklumat tersebut akan memberikan keseimbangan dan koordinasi kedudukan tubuh.

Rujuk : http://www.sumanasinc.com/webcontent/animations/content/vestibular.html 

Vertigo boleh berlaku secara tiba-tiba dan pulih dalam masa yang singkat tanpa apa-apa rawatan. Namun gejala vertigo yang teruk boleh berterusan hingga beberapa hari dan berulang-ulang. Rawatan adalah diperlukan untuk mengawalnya.

 

 

Antara penyebab vertigo adalah :

1. Masalah berkaitan telinga ( Peripheral Vertigo)

  • Jangkitan dan radang pada saraf vestibular telinga dalam (vestibular neuronitis)

—> biasanya disertai oleh loya dan muntah, tiada gejala gangguan pendengaran.

—> disebabkan oleh jangkitan virus, dan gejala berakhir selepas beberapa jam atau hari

  • Labyrinthitis  (jangkitan telinga dalam)

—> biasanya disebabkan oleh jangkitan virus  demam selsema, batuk (URTI) atau jangkitan bakteria

  • Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV

—> vertigo yang disebabkan oleh perubahan kedudukan kepala seperti menoleh, menggeleng, mendongak atau tunduk. Ia berlaku sekejap (beberapa saat) dan boleh berulang-ulang

  • Menierre’s 

—> vertigo berkait dengan gangguan pendengaran : tinnitus, kurang dengar dan seolah-olah terdapat sumbatan dalam telinga ). Boleh berulangan dan masalah pendengaran biasanya hanya di sebelah telinga

2. Masalah berkaitan dengan otak (Central vertigo) seperti ketumbuhan/tumor, migraine, stroke dll

Masalah berkaitan pengambilan ubat tertentu.

Apakah gejala yang berkaitan dengan vertigo ?

Selain daripada merasa berpusing/berputar basanya ia disertai oleh rasa loya, muntah.

Gejala lain adalah gangguan pendengaran, tinnitus , hilang keseimbangan tubuh dan mungkin menyebabkan terjatuh.

Vertigo disertai lemah anggota badan, kebas atau gangguan penglihatan mungkin menunjukkan masalah yang lebih serius. Misalnya : stroke.

Kehadiran gejala yang tersebut dapat membantu dalam membezakan penyebab dan menentukan rawatan yang sesuai untuk vertigo.

NOTA : maklumat adalah terhad. Rujuk doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bisul : Kenapa tidak boleh dipicit ?

29 Dec

Apa itu bisul ?

Bisul adalah jangkitan pada kulit. Biasanya berpunca daripada jangkitan liang roma kulit.  Bisul kelihatan seperti bengkakan  merah atau berisi nanah dan sakit.

Bagaimana mendapat bisul ?

Kulit terdedah kepada banyak kuman  dan terdapat kuman yang menghuni permukaan kulit tanpa menyebabkan sebarang penyakit.  Apabila berlaku luka atau tercalar pada kulit, ia akan membukakan laluan untuk kuman masuk ke dalam liang roma kulit menyebabkan jangkitan berlaku. Misalnya; kuman Staph aureus yang menyebabkan jangkitan bernanah seperti bisul.

Kenapa tak boleh dipicit?

Bisul adalah radang yang berlaku pada kulit. Radang atau inflamasi adalah peringkat awal sesuatu jangkitan. Pada peringkat ini tubuh akan bertindakbalas untuk melawan jangkitan yang berlaku secara semulajadi.Gejala yang dialami adalah rasa sakit, bengkak atau benjolan, merah serta terasa panas. Radang ini dapat diturunkan dengan rawatan yang betul dan kemungkinan ia akan sembuh tanpa berlanjutan menjadi nanah (peringkat akhir) atau pecah.

Perbuatan memicit bisul akan menyebabkan,  antaranya :

  • kerosakkan tisu sekitaran – menjadikan kawasan radang merebak atau lebih besar serta lebih sakit
  • jika bernanah- menyebabkan jangkitan merebak
  • melambatkan pemulihan
  • meningkatkan risiko parut

Apa boleh dilakukan ?

  • Tuamkan dengan tuala yang telah direndam air suam – untuk menurunkan radang
  • Tuam panas : untuk mempercepatkan bisul  matang/ ‘mata nanah’ timbul;
  • Tuam panas : meningkatkatkan aliran darah maka lebih banyak sel-sel (respon semulajadi tubuh yg membantu menghapuskan jangkitan serta mempercepatkan pemulihan
  • Dapatkan rawatan : ubat untuk mengurangkan sakit, anti-radang atau antibiotik (jika perlu)- oral atau sapu. Bagi nanah yang telah matang berkemungkinan perlu di’belah’ untuk mengeluarkan nanah
  • Amalkan penjagaan kebersihan diri
  • Amalan gaya hidup sihat
  • Pemakanan yang seimbang

Siapa berisiko mendapat bisul ?

Semua orang mempunyai risiko mendapat jangkitan bisul. Namun risiko lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes, anemia, kurang zat besi serta mempunyai daya ketahanan rendah( imunocompromised)

 

Nota ini memberikan penerangan ringkas sahaja. Rujuklah doktor anda untuk maklumat lanjut.

Apa maksud menjaga telinga ?

16 Dec
by Klinik An-Nisa’ (Saujana Impian) [Belakang TESCO Kajang] on Tuesday, 13 December 2011 at 11:29

Menjaga telinga atau “earcare” bermaksud

1. Menjaga keadaan fizikal telinga

2. Menjaga fungsi telinga iaitu menjaga pendengaran

Apabila mengalami masalah berkait telinga seperti sakit, bernanah, gatal atau berdarah kita berjumpa doktor untuk rawatan. Selain daripada mendapat ubat kita juga dinasihatkan agar “menjaga telinga atau ear care”. Apakah maksudnya ? Adakah kita faham ? Dalam fikiran kita : Ya , saya perlu menjaga telinga…Tetapi bagaimana caranya – adakah kita benar-benar faham apa maksud doktor tersebut ?

1. Jaga telinga supaya sentiasa kering :

  • Jangan biarkan air masuk ke dalam lubang telinga semasa mandi atau elakkan berenang dan berendam dalam air
  • Jika perlu gunakan earplug atau sumbat lubang telinga dengan kapas terutamanya jika mengalami masalah telinga bernanah, gegendang berlubang atau telinga berdarah.
  • Kenapa ? Telinga basah atau lembab melambatkan pemulihan dan meningkatkan risiko jangkitan

2. Bersihkan telinga sebelum menggunakan ubat titis telinga atau krim sapuan :

  • Elakkan penggunaan putik kapas sebaliknya gunakan kapas lembut untuk menyerap cairan dalam telinga
  • Kenapa ? Memudahkan penyerapan ubat yang digunakan

3. Gunakan ubat titis dengan betul :

  • Elakkan mengambil ubat titis tanpa pemeriksaan terlebih dahulu. Masalah berbeza memerlukan ubat yang berbeza dan mungkin masalah yang dialami sebenarnya tidak memerlukan ubat titis
  • Ikut arahan tentang dos dan kekerapan penggunaan ubat tersebut
  • Cara menggunakan : Baring ke sisi dengan telinga yang hendak dititis ubat disebelah atas. Tarik cuping telinga ke belakang dan ke atas untuk meluruskan lubang/saluran telinga. Titiskan ubat dan biarkan selama 10 minit sbelum bangun semula. Kemudian barulah diulang ke telingan sebelah lagi.
  • Kenapa ? Penggunaan ubat yang tidak betul dan cara yang salah melambatkan pemulihan

4. Jangan korek telinga :

  • Elakkan penggunaan putik kapas, besi pencungkil
  • Elakkan menggunakan jari
  • Kenapa ? Seringkali putik kapas digunakan untuk ‘menggaru’ saluran telinga bagi melegakan gatal. Ini meningkatkan risiko kecederaan kulit di saluran telinga. Selain itu sumbatan oleh tahi telinga dan  kederaan pada gegendang mungkin boleh berlaku.

5. Jangan masukkan objek ke dalam telinga :

  • Kanak-kanak cenderung memasukkan objek kecil ke dalam lubang telinga, hidung dan juga mulut.  Jadi sentiasa latih dan perhatikan mereka. Antara yang sering ditemui dalam lubang telinga : putik kapas tertanggal, mata pensil, bahagian alat permainan kecil, bahan makanan dll
  • Kenapa ? Ini meningkatkan risiko kecederaan pada telinga, sumbatan (kurang dengar) dan jangkitan

6. Elakkan bunyi bising :

  • Jangan gunakan earphone terlalu lama atau kerap
  • Gunakan alat perlindungan telinga seperti earplug, earmuffs jika berada di tempat bising
  • Kenapa ? Bunyi yang kuat boleh mencederakan saraf pendengaran sama ada secara berperingkat (perlahan-lahan) atau secara tiba-tiba dan menyebabkan masalah kurang dengar.

Lain-lain masalah berkait telinga yang perlu diberi perhatian :

  • masalah kulit di bahagian cuping/belakang cuping, bengkak pada cuping, luka
  • masalah kurang dengar, berdengung, rasa tersumbat dan lain-lain…

Selain itu menjaga telinga juga bermaksud menjaga pendengaran — Jadi gunakan anugerah ini untuk mendengar perkara-perkara yang elok…

Nota ini adalah sebagai ingatan dan panduan. Maklumat yang diberikan adalah terhad, Rujuklah doktor anda untuk maklumat lanjut… “WHY SUFFER WHEN YOU CAN PREVENT”

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.